Haid Tidak Teratur (Dr. Imelda Balchin)
Soalan: Doktor, betul ke kalau makan ubat tahan sakit seperti panadol atau ponstan untuk sakit senggugut semasa haid, nanti haid akan menjadi tidak teratur? Jawapannya: TIDAK BETUL. Itu satu salah faham. Biasanya, wanita yang ada haid yang tidak teratur (contohnya haid hanya datang setiap 2-3 bulan), ramai daripada mereka juga ada polycystic ovarian syndrome (PCOS). Wanita PCOS ada lebih kecenderungan untuk mendapat haid yang lebih banyak pendarahannya dan lebih sakit, maka merekalah juga wanita yang lebih lagi kerap memerlukan ubat tahan sakit seperti panadol atau ponstan. Kesimpulannya: Wanita yang ada haid tidak teraturlah lebih lagi menggunakan ubat tahan sakit bila datangnya haid, bukan ubat tahan sakit menyebabkan haid yang tidak teratur. Garispanduan Perubatan antarabangsa yang ditulis oleh pakar-pakar Gynae antarabangsa dan berdasarkan kajian perubatan antarabangsa, menyarankan penggunaan ubat tahan sakit bagi wanita yang ada masalah haid yang sakit atau senggugut semasa datangnya haid, selagi tiada alahan dan selagi ia berkesan membantu anda mendapat kehidupan yang normal semasa datangnya haid. Jika ubat tahan sakit masih tidak membantu anda, silalah berjumpa dengan doktor di klinik Gynae. Ubat tahan sakit tidak menyebabkan haid menjadi tidak teratur. Itu hanya MITOS.