TANDA - TANDA BAKAL BERSALIN
.
1. Ngilu di bahagian ari-ari
Semakin anda hampir hendak bersalin, rasa ngilu dan pedih di bahagian ari-ari akan kerap terasa. Bakal mama juga lebih kerap membuang air kecil mahu pun besar, sakit perut serta buang angin. Ini disebabkan tekanan kepala bayi yang sudah turun ke bawah laluan tulang pelvik.
.
2. Sakit tulang belakang
Kesakitan di pinggul dan tulang belakang semakin kuat dirasakan. Ini kerana di akhir kehamilan, berlaku pergerakan pada janin yang akan menekan tulang belakang ibu.
.
3. Keluar lendir berdarah
Ada sesetengah bakal mama akan mengalami keluarnya lendir bercampur darah sebagai tanda hendak bersalin. Ia berlaku disebabkan pintu rahim dalam proses pembukaan. Jika anda mengalami tanda ini, segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan saiz bukaan pintu rahim.
.
4. Keluar air ketuban
Tidak semua bakal mama mengalami situasi ini. Bagi yang mengalami pecah air ketuban dari vagina iaitu air jernih yang mengalir sedikit atau deras, segeralah ke hospital untuk pemeriksaan segera. Biasanya tidak lama kemudian ibu akan bersalin.
.
5. Kontraksi rahim
Jika memang sudah sampai masanya, anda akan mengalami sakit kontraksi yang beturutan bermula sejam sekali sehingga lima minit sekali dan menjadi semakin kerap. Bagaimanapun adakalanya sesetengah ibu akan mengalami kontraksi palsu. Jadi, ibu perlu kenal mana satu sakit kontraksi yang betul.
.
6. Bukaan pintu rahim
Semakin mendekati saat melahirkan, tanda yang paling jelas sekali adalah proses pembukaan rahim. Inilah kemuncak momen indah sebelum bergelar ibu. Walaupun sakit kontraksi iaitu proses pintu rahim terbuka dari 1 hingga 10 cm ini adalah kesakitan yang paling sakit namun ia satu nikmat kelegaan saat kepala bayi mula keluar dari pintu rahim ibu.
.