Baby batuk batuk
Normal atau tak ya baby 1bulan lebih batuk2? Tak kerap batuk, kadang2 tengah tidur boleh terbatuk. Then saya ada minum air sejuk, katanya sebab tu baby batuk. Betul ke😰
Boleh baca posting dr page doctor imelda balchin pakar o&g ni “Doc, betul ke kalau saya minum air sejuk masa mengandung, nanti selepas bersalin baby akan dapat selsema?” Jawapan. Tak betul. Itu hanya Mitos. Mai nak cerita. KENAPA BAYI DAPAT SELSEMA? Bayi dapat selsema sebab jangkitan virus di hidung dan kerongkong bayi, bukan sebab suhu air minuman ibu. KENAPA BAYI DAN ANAK-ANAK KECIL LEBIH SENANG NAK DAPAT SELSEMA JIKA DIBANDINGKAN DENGAN ORANG DEWASA? Bayi dan anak-anak kecil sangat senang dijangkiti virus yang menyebabkan selsema sebab mereka tidak pernah ada immuniti untuk badannya melawan jangkitan virus ini. Tidak kira lah apa ibu makan atau minum dan tidak kira lah suhu air yang ibu minum, bayi akan senang dapat selsema juga. Sekali bayi dapat selsema, badan bayi akan membuat antibody melawan virus ini dan akan sembuh sendiri tanpa ubat. Selepas sembuh, bayi ini tidak akan dapat selsema lagi sekali dari virus yang sama sebab badannya sudah pandai melawan virus ini. Tetapi, ada lebih dari 100 jenis virus yang boleh menyebabkan selsema, sebab inilah bayi dan kanak-kanak kecil boleh dapat selsema berkali-kali dalam setahun daripada beberapa jenis virus yang berlainan. Virus yang paling kerap sekali menyebabkan selsema ialah Rhinovirus. Jika dah banyak kali dapat selsema semasa kita kecil, bila dah besar kita sudah immune kepada banyak virus ini dan hanya akan dapat selsema bila dewasa sekiranya dijangkiti oleh virus lain yang kita tak pernah kena bila kita kecil. Semakin dewasa, semakin kurang masalah selsema kepada orang dewasa bila dibandingkan dengan anak-anak kecil, sebab jika kita pernah mendapat jangkitan dari virus yang sama semasa kecil, badan kita sudah membuat antibodi untuk melawan virus yang sama. Tetapi kita masih boleh mendapat selsema jika kita mendapat jangkitan virus yang badan kita tidak pernah lawan lagi. APAKAH SIMTOM ATAU GEJALA SELSEMA YANG BAYI BOLEH DAPAT? Jangkitan virus itu boleh menyebabkan gejala hidung berhingus, hidung tersumbat, batuk, bersin, demam, lebih banyak menangis, lebih susah tidur dan susah nak hisap susu sebab hidung yang tersumbat. PERLUKAH AMBIL UBAT KALAU BAYI DAPAT SELSEMA? Bayi boleh sembuh dari selsema tanpa ubat tetapi kita hanya perlu membantu menurunkan suhu badan yang terlalu tinggi jika demam, bantu mengurangkan masalah hidung tersumbat untuk pernafasan yang lebih selesa. Kalau tak demam dan tiada masalah pernafasan, maka tak perlu apa-apa ubat. BILA NAK BAWA BAYI JUMPA DOKTOR? Bawalah bayi anda berjumpa dengan doktor sekiranya demam, susah bernafas, ada hingus berwarna hijau, menangis dan tidak mahu minum susu, sentiasa batuk, batuk sehingga muntah. KENAPA IBU TAK ADA SELSEMA PUN BAYI BOLEH DAPAT SELSEMA? Kadang-kadang ibu tak ada pun selsema tetapi bayinya dapat selsema sebab ibu sudah pun pernah mendapat jangkitan dari virus itu pada masa dulu dan boleh melawan virus itu. Walaupun bayi itu tidak mendapat jangkitan virus itu dari ibunya, bayi boleh mendapat jangkitan virus dari orang lain yang melawat bayi itu. BAGAIMANA BAYI BOLEH DAPAT JANGKITAN VIRUS YANG MENYEBABKAN SELSEMA? Cara virus berjangkit kepada bayi ialah melalui 1) Sentuhan, dari tangan orang lain yang ada virus kepada mata, hidung atau mulut bayi atau Ciuman, dari orang lain yang ada virus kepada bayi. 2) Udara, bila orang lain yang ada virus itu batuk atau bersin ke arah bayi. 3) Permainan, yang disentuh oleh orang yang membawa virus, dan kemudian diambil oleh bayi dan dimasukkan ke dalam mulutnya. BAGAIMANA NAK MENGELAKKAN BAYI DAPAT SELSEMA? 1) Jangan benarkan orang beramai-ramai datang melawat bayi yang baru lahir, terutama sekali jika orang lain ada selsema. 2) Bersihkan tangan selalu, terutamanya sebelum pegang bayi. 3) Jika batuk dan bersin, jangan batuk atau bersin ke arah muka bayi. 4) Bersihkan permainan bayi. Bukan elak dari minum air sejuk atau air ais. Bukan suruh ibu yang hamil atau menyusukan bayi itu berhenti minum air sejuk atau air ais. SEKIRANYA ANDA DAPAT SELSEMA, KENAPA TIDAK DIGALAKKAN MINUM AIR SEJUK SEHINGGA DAH SEMBUH DARI SELSEMA? Sebab bila kita sudah dapat selsema, sel-sel interferon dalam badan kita akan melawan virus di dalam badan. Sel-sel badan kita berfungsi dengan lebih berkesan dan lebih cepat bila badan kita sentiasa panas. Jadi kalau dah dapat selsema, kita boleh membantu badan kita sembuh dengan lebih cepat dengan minum dan makan yang suam. Tetapi jika kita tiada selsema, kita tak boleh dapat selsema jika kita minum air sejuk atau air ais. SEKIRANYA BAYI YANG MENYUSU SUSU IBU DAPAT SELSEMA, BOLEHKAH IBU MINUM AIR SEJUK ATAU AIR AIS? Jawapannya boleh. Sebab bila ibu minum air ais, ais yang masuk ke dalam perut ibu akan di panaskan oleh haba dari badan ibu. Bila air yang ibu minum diserap ke dalam darah ibu, ia akan menjadi suhu yang sama dengan darah ibu. Susu ibu itu dibuat di dalam kilang susu di dalam payudara ibu dan khasiat nutrisi di dalam susu ibu itu diambil dari darah ibu. Susu ibu itu sentiasa panas, sama panas dengan suhu darah ibu yang sentiasa panas, tidak kira apakah suhu minuman yang ibu minum. Bayi akan sentiasa mendapat susu panas walaupun ibu minum air sejuk atau air ais. KESIMPULANNYA: Kalau ibu nak minum air ais atau air sejuk semasa ibu hamil atau semasa menyusukan bayi, ini tidak memudaratkan kesihatan bayi. Ikut suka ibu lah kalau nak minum air sejuk ke, air suam ke, air panas. Yang penting, orang di sekeliling tu janganlah merokok untuk kesihatan ibu dan kesihatan bayi. Semoga ilmu pengetahuan ini membantu anda. Jika anda risau tentang kesihatan bayi anda, sila bawa bayi berjumpa dengan doktor, dan saya mohon anda semua jangan minta pendapat perubatan di sini atau di sosial media. Doktor bukan Nujum Pak Belalang, tak boleh memeriksa bayi anda melalui media sosial. Terimakasih. Dr Imelda Balchin.
Đọc thêm