DR IMELDA BALCHIN "BERPUASA KETIKA HAMIL"

Berpuasa semasa hamil. Ada sebabnya kenapa Allah tidak mewajibkan ibu yang hamil ataupun ibu menyusu berpuasa, dan Allah juga tidak mengharamkan jika hendak berpuasa. Ini terpulang kepada ibu masing-masing, tetapi saya galakkan ibu hamil yang hendak berpuasa bertanya dahulu kepada pegawai/pakar perubatan sebelum berpuasa. ---------------------------------------------- Apakah perubahan physiology badan wanita apabila hamil? 1) Pertama sekali, pengaliran darah daripada jantung ibu kepada rahim dan uri akan meningkat 10 kali ganda untuk membekalkan oxygen dan khasiat kepada janin. Bermula dari hanya 80ml setiap minit sebelum hamil ke 600-800ml setiap minit bila sampai ke akhir peringkat kehamilan. Pada masa ini, sebanyak 20% darah yang dipamkan keluar daripada jantung ibu akan sampai ke rahim ibu, dibandingkan dengan hanya 2% sebelum hamil. Ini menunjukkan betapa kuat badan ibu berkerja bila hamil. 2) Untuk membenarkan darah sampai ke rahim dan uri tanpa sebarang halangan, tekanan darah ibu menjadi lebih rendah semasa hamil. Inilah normal untuk kehamilan bahawa tekanan darah ibu akan turun pada 20 minggu pertama kehamilan. Tekanan darah yang rendah ini boleh menyebabkan setengah ibu hamil merasa nak pitam-pitam sedikit bila tiba-tiba berdiri atau bila berdiri dengan lama. Selain dari itu, jumlah darah ibu perlu meningkat lebih dari 1.5 Litre semasa hamil untuk menyampaikan cukup pengaliran darah ke rahim ibu yang membesar dengan cepat. 3) Jantung ibu hamil berkerja dengan lebih kuat lagi dari wanita yang tidak hamil, walaupun semasa rehat, dan ini menyebabkan kadar degupan jantung yang lebih tinggi (increased heart rate) daripada wanita yang tidak hamil. Kadar degupan jantung naik sebanyak 10-25%, dan darah yang dipam keluar daripada jantung (cardiac output) naik sebanyak 50% jika dibandingkan dengan sebelum hamil. Kadar degupan jantung akan naik lebih tinggi lagi jika badan ibu kegersangan akibat kurang meminum air. Secara tidak langsung kadar degupan jantung janin juga akan naik lebih tinggi lagi jika kadar ibu juga tinggi. 4) Untuk mengelakkan pendarahan yang berlebihan selepas uri lekang daripada dinding rahim selepas bersalin, darah ibu semasa hamil adalah lebih pekat bila dibandingkan dengan sebelum hamil. Hormon kehamilan ibu semasa hamil merangsabkan hati (liver) membuat lebih protin yang memekatkan darah, dan inilah caranya Allah melindungi ibu bersalin dari pertumpahan darah yang teruk dan berlebihan semasa dan selepas bersalin. Tetapi, kepekatan darah yang lebih tinggi semasa hamil ini juga meninggikan risiko mendapat darah beku (venous thromboembolism, atau VTE) sebanyak 6 kali ganda. VTE berlaku kepada 1-2 per 1000 ibu hamil dan boleh membahayakan nyawa ibu. Risiko ini bertambah tinggi lagi jika badan mengalami kegersangan akibat tidak minum atau muntah-muntah yang berterusan, jika pernah mendapat masalah VTE, jika mempunyai berat badan yang berlebihan, jika manaiki kapalterbang perjalanan jauh selama lebih daripada 4 jam, jika usia lebih daripada 35 tahun, jika demam disebabkan jangkitan kuman yang memerlukan antibiotik, dan selepas baru bersalin 42 hari. 5) Darah ibu sentiasa membekalkan gula glukos kepada janin, dan bila berpuasa, kandungan gula di dalam darah ibu yang hamil adalah lebih rendah daripada kandungan gula wanita berpuasa yang tidak hamil. Ibu yang hamil lebih cepat letih, dan bila kandungan gula menjadi sangat rendah akan lebih cenderung merasa loya dan muntah-muntah, terutama sekali pada peringkat awal kehamilan. 6) Apabila rahim semakin membesar, terdapat tekanan dari bawah yang menolak perut ibu ke atas. Tekanan ini menyebabkan ibu hamil tidak boleh makan banyak-banyak. Ramai yang mendapat kepedihan ulu hati (heartburn) terutama selepas makan, dan muntah kembali. Ibu yang mengalami masalah ini hanya boleh makan sedikit-sedikit tetapi hendaklah makan dengan lebih kerap untuk mendapat kalori yang cukup. 7) Untuk membekalkan khasiat kepada janin, hormon progesterone yang dikeluarkan daripada uri akan memperlahankan pergerakan makanan yang hadam di dalam usus (reduced motility), supaya lebih banyak khasiat dan air boleh diserap dari usus ke dalam darah ibu, sebelum yang baki itu keluar sebagai najis. Bila dibandingkan dengan wanita yang tidak hamil, pergerakan di dalam usus mengambil masa yang lebih lama, dan itulah yang menyebabkan najis yang lebih keras dan masalah sembelit yang lebih kerap dihadapi oleh ibu yang hamil. Masalah ini boleh bertambah lagi jika tidak minum secukupnya. Disebabkan 7 perkara di atas, saya selalu menggalakkan ibu yang hamil supaya minum secukupnya, sekurang-kurangnya 8 gelas air sehari (terutamanya jika masalah sembelit atau ada risiko VTE seperti di atas), kurangkan pemakanan setiap kali makan tetapi memakan dengan lebih kerap, dan jangan makan sebelum tidur untuk mengelakkan heartburn. ----------------------------------------------- Tidak ada banyak kajian perubatan yang menilai kesihatan ibu hamil dan janin selepas sebulan berpuasa dengan lengkap. Kebanyakan ibu yang hamil tidak berpuasa. Ada kajian dari luar negara (USA dan UK) yang hanya menggunakan maklumat banci negara. Ia menunjukkan jika Ibu hamil itu seorang Islam, hamil ketika bulan puasa, ia mendapati anak yang dilahirkan adalah lebih kecil dan mempunyai lebih masalah persekolahan apabila besar. Kajian ini bukanlah yang berpiawai tinggi sebab ia hanya mengira bilakah anak yang Islam itu dilahirkan dan membuat andaian yang semua ibu hamil yang Islam itu berpuasa. Sedangkan ibu Islam di negara barat, kebanyakannya berasal dari Pakistan dan Bangladesh, dan anak mereka memanglah selalunya lebih kecil lagi jika dibandingkan dengan orang Puteh, kerana sifat keturunan mereka. Lagipun, ramai anak mereka tidak fasih berbahasa Inggeris di sekolah dan akan ada lebih masalah persekolahan dan masalah pencapaian akademik di peringkat permulaan. Kajian yang berat sebelah macam ini boleh kita abaikan keputusannya. Tidak ada kajian yang berpiawai tinggi. Tidak ada randomized controlled trial. Kajian yang berkualiti sederhana pula menunjukkan tidak ada kesan negative terhadap kesihatan bila ibu hamil berpuasa bila dinilai saiz anak ketika lahir. Tetapi bila dikaji saiz uri ibu yang berpuasa, ia lebih kecil dari yang sepatutnya bila dibandingkan dengan uri ibu yang tidak berpuasa. Jika ibu hamil berpuasa pada musim panas di negara barat, yang waktu siang lebih panjang dan masa puasa yang lebih lama, kita mula melihat bukti yang pembesaran janin terganggu. Ada juga dua kajian yang menunjukkan ada kesan terhadap pembesaran janin jika ibu berpuasa pada tiga bulan pertama kehamilan. ------------------------------------------------ Justeru itu, Dari segi kesihatan, walaupun tidak digalakkan, ibu hamil yang sihat dengan janin yang sihat selepas tiga bulan pertama (selepas first trimester) boleh berpuasa jika hendak berpuasa. Jika berasa lemah, atau loya, hendaklah berbuka puasa. Jika pergerakan janin berkurangan (selepas 28 minggu kehamilan), hendaklah berbuka puasa dan jika pergerakan janin masih juga berkurangan selepas berbuka puasa, ibu dinasihatkan ke hospital untuk penilaian CTG dan ultrasound untuk menilai kesihatan dan pembesaran janin. Ibu hamil yang tidak sepatutnya berpuasa: 1) Tiga bulan pertama kehamilan (first trimester) terutama sekali jika loya, tak boleh makan, tak boleh minum secukupnya atau muntah-muntah. 2) Ada risiko VTE yang sederhana atau tinggi, terutama sekali ibu yang perlukan suntikan ubat untuk mencairkan darah. 3) Ibu yang demam, tidak sihat dan perlukan rawatan antibiotik. 4) Ibu yang mempunyai risiko tinggi pre-eclampsia, atau penyakit autoimmune, atau penyakit jantung. 5) Ibu yang mempunyai penyakit kencing manis yang tidak dikawal dengan baik (type 1 diabetes, type 2 diabetes, atau GDM yang memerlukan rawatan insulin) 6) Ibu yang janinnya dikenalpasti mempunyai masalah pembesaran 7) Ibu menyusu (ataupun tidak menyusu) di dalam masa berpantang. Kadangkala darah nifas hanya dua minggu, tetapi kepekatan darah adalah masih tinggi pada 6 minggu selepas bersalin. 8)Berpuasa pada musim panas dengan waktu siang yang lebih panjang di negara barat. Sila lihat gambar terakhir. Ini menunjukkan perbandingan kandungan gula dalam darah bagi mereka yang berpuasa dan tidak berpuasa dan mereka yang mempunyai penyakit kencing manis. Paras gula yang naik turun tak terkawal ini untuk sebulan jika hamil boleh menjejaskan kesihatan janin, meningkatkan risiko pre-eclampsia, kelahiran pramatang dan pembedahan Caesar. Bagi ibu yang mempunyai GDM (penyakit kencing manis semasa hamil sahaja) yang boleh dikawal melalui penjagaan pemakanan dan bersenam, tanpa memerlukan rawatan metformin atau insulin, boleh berpuasa jika boleh terus mengawal bacaan gula di dalam darah pada bulan puasa. Masalahnya bukanlah bacaan gula semasa berpuasa tetapi bacaan gula yang tinggi melambung selepas berbuka, sebelum sahur dan selepas sahur. Saya syorkan mengambil bacaan gula 2 jam selepas berbuka puasa, sebelum sahur, dan dua jam selepas sahur. Jika dua jam selepas makan, bacaannya melebihi 6.7, sila berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan ubat metformin. Tetapi jika bacaan masih tinggi juga selepas menerima rawatan metformin, lebih baik tidak berpuasa dan kawal semula pemakanan seperti sebelum bulan puasa supaya tidak perlu mengambil rawatan insulin untuk mengawal gula yang terlalu tinggi selepas berbuka puasa. Selamat menyambut bulan Ramadan. Yang tak boleh berpuasa pun boleh beribadah seperti yang berpuasa. Allah yang maha mengasihi. Ada sebabnya ibu yang hamil atau menyusu tidak semua diwajibkan berpuasa. Setiap ibu adalah berlainan, setiap janin di dalam kandungan adalah berlainan dan setiap kehamilan juga adalah berlainan untuk ibu-ibu yang sama. Jangan membuat perbandingan diri sendiri dengan ibu hamil yang lain. Buatlah apa yang terbaik untuk anda dan anak di dalam kandungan. TAK payah bandingkan diri dengan orang lain. Jangan kata kenapa saya boleh buat orang lain tak boleh buat dan jangan kata kenapa saya tak boleh buat orang lain boleh buat. Untuk semua soalan perubatan peribadi anda, saya MOHON anda JANGAN tanya di bahagian komen di sini dan jangan PM saya di FB messenger. Saya mohon anda semua pergi ke klinik dan tanya doktor yang memeriksa anda dan menilai kesihatan janin anda di dalam kandungan, bukan tanya doktor yang tidak tahu tentang kesihatan keseluruhan anda bersama janin anda dan tidak langsung melihat anda. Hargailah kesihatan anda dan anak di dalam kandungan dan jangan minta pendapat orang lain yang TIDAK dipertanggungjawabkan untuk perubatan anda secara rasmi. Pesakit tidak patut memberi nasihat perubatan kepada pesakit yang lain sebab tidak boleh membuat andaian bahawa pesakit lain ada risiko yang sama dan komplikasi yang sama. Terimakasih. Dr Imelda Balchin, Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi Subspecialist Maternal & Fetal Medicine Maternal Medicine ialah masalah perubatan ibu yang hamil. Pakar maternal medicine ialah pakar kehamilan berisiko tinggi. Fetal medicine ialah masalah kesihatan janin di dalam kandungan. Pakar Fetal Medicine ialah pakar tentang masalah kesihatan dan masalah pembentukan atau kecacatan janin yang memantau kesihatan janin sebelum dan semasa bersalin.

1 Trả lời
 profile icon
Viết phản hồi

Terima kasih atas perkongsian sis 🥰