TIPS MUDAH BERSALIN (DR. IMELDA BALCHIN)

Ada penjual produk membuat kenyataan, “Doc Imelda memang tak percaya alami untuk remedy, percayakan ubat Hospital saja”. Kemudian mereka buat kenyataan yang bahan semulajadi tiada bahan kimia. Tu diaaaaa itulah mereka yang membuat fitnah. Kalau tak tahu bahan semulajadi pun ada bahan kimia, maka kenalah belajar Sains. Berapa ratus kali dah saya bagi nasihat mencegah itu lebih baik dari merawat? Apa yang lebih alami dari mencegah?? Pada hakikatnya, saya lebih percayakan kepada alami dari mereka. Bagaimanakah nak mudah bersalin? Saya dah terangkan banyak kali, dan sudah beberapa kali tunjuk rujukan dan bukti dari kajian perubatan antarabangsa, bukan testimonial. Jawapannya BUKAN telan minyak kelapa dara dan BUKAN telan milo campur mentega. Orang Malaysia ni asyik nak makan makan makan saja. Sampaikan bagaimana nak mudah bersalin pun nak tanya apa nak makan. Berhentilah pikiaq nak makan saja. Adoi laaaa Jawapannya yang sebenarnya ialah menjaga kesihatan anda sebelum hamil lagi dan untuk keseluruhan kehamilan. 1) Jika berat badan obese, cuba kurangkan berat badan ke tahap yang sihat, kurang daripada BMI 27, sebelum hamil. Ini mengurangkan risiko mendapat diabetes semasa hamil dan janin yang terlalu gemuk yang boleh menyebabkan bahunya tersekat semasa bersalin. 2) Jika ada diabetes, pastikan diabetes dikawal dengan HbA1C kurang dari 6.5% sebelum hamil, dan teruskan pengawalan gula ke tahap yang memuaskan semasa hamil. Saya akan terangkan dengan lebih lanjut lagi minggu ini #TanyaDrImelda Episod 6, Persediaan untuk kehamilan dan diabetes semasa hamil. Hari Khamis, Pukul 9 malam. 3) Jika anda pernah mendapat penyakit kencing manis semasa kehamilan yang sebelum ini (gestational diabetes, GDM), sila buat ujian air gula OGTT setiap tahun untuk memastikan yang anda tidak ada penyakit kencing manis (diabetes type 2) dan sebelum kehamilan yang berikutnya. Jika sudah ada diabetes, baca balik nasihat 1 dan 2 di atas. Jangan tunggu bila dah hamil baru terkejut sudah ada Diabetes yang tak terkawal, yang pada hakikatnya boleh dikawal dan patut dikawal SEBELUM kehamilan. 4) Bersenam semasa hamil 150 minit seminggu, seperti yang saya sudah terangkan dalam #TanyaDrImelda Episod 2. Ini terbukti meningkatkan kejayaan kelahiran yang normal. 5) Pemakanan yang sihat dan seimbang. Jangan makan untuk dua, untuk memastikan berat badan tidak naik terlampau banyak semasa kehamilan. 6)Pastikan anda mendapat ultrasound scan di antara 11-14 minggu kehamilan untuk menentukan yang due date anda (EDD) adalah lebih tepat kerana ini telah terbukti mengurangkan keperluan untuk di-induce sebab ‘overdue’. Ini lah masa yang terbaik untuk membuat scan semasa kehamilan untuk tujuan memastikan tarikh ‘due date’ dibetulkan (bukan scan masa 7 minggu dan bukan scan masa 28 minggu). Buka buku merah seawal 12 minggu. Jangan tunggu lambat-lambat. 7) Jika anda obese (BMI > 27.5), sila kawal berat badan supaya tidak naik lebih daripada 5-9kg semasa hamil. Cara mengawal kenaikan berat badan yang terbaik sekali ialah pemakanan yang sihat dan senaman. 8)Urutan perineum setiap hari dari 36 minggu ke atas boleh melembutkan kulit yang tegang supaya boleh mengurangkan koyakan atau episiotomi semasa bersalin. Kendurkan kulit yang tegang di bahagian bawah faraj - Ini lah kulit perineum. Boleh pakai minyak apa-apa pun. Tak payah pakai minyak kelapa dara mahal-mahal. Kajian perubatan yang dibuat telah menunjukkan KY jelly, vaselin, glycerol, baby oil berkesan. Matlamatnya ialah meregangkan kulit supaya tak senang terkoyak, tidak kisahlah apa minyak yang anda nak pakai. 9)Pastikan ada peneman semasa bersalin (Birth companion) yang boleh memberi anda sokongan emosi dan semangat nak bersalin. Birth companion ini menenangkan ibu dan sudah terbukti menjayakan lebih kelahiran yang normal. 10)Dengarlah nasihat doktor jika perlu induce bila sudah overdue, sebab ini sudah terbukti mengurangkan risiko pembedahan Caesar jika dibandingkan dengan menunggu lama-lama sehingga 42 minggu kehamilan. Jadi, apa yang terbukti memudahkan bersalin ialah kesihatan ibu, fizikal dan emosi. Jika tidak obese dan bersenam dengan kerap, maka kuranglah masalah darah tinggi, kuranglah masalah kencing manis, kurang masalah janin terlalu besar dan kuranglah keperluan untuk di-induce, kurang pembedahan Caesar dan kuranglah masalah yang mengurangkan kejayaan anda untuk bersalin secara normal. Ini dia 10 nasihat bagaimana anda boleh berusaha meningkatkan kejayaan bersalin secara normal. Semoga ibu-ibu hamil kita sihat semasa hamil, sihat semasa bersalin, dan mendapat zuriat yang sihat. Dr Imelda Balchin, Pakar Kesihatan Wanita. Pro-alami laaaaa....

Câu hỏi liên quan

Câu hỏi phổ biến

Những bài viết liên quan