INFO : Kegatalan badan bermula dari tapak tangan dan tapak kaki atau "Obstetrics Cholestasis"
Seorang ibu hamil berjumpa saya di klinik, kerana beliau ada kegatalan badan.
Bila ibu ini tanya orang lain, mereka kata kegatalan semasa hamil itu biasa lah. Tetapi bila beliau mengadu kepada saya, saya ambil berat.
Saya tanya, saya lihat, dan saya periksa, dimanakah kegatalannya?
Saya tanya bila kegatalan bermula?
Saya tanya dimanakah tempat pertama kegatalan bermula?
Saya lihat beliau sudah trimester ketiga, saya tanya, adakah kegatalan ini bermula dari tapak tangan dan tapak kaki?
Jawapannya ya.
Kegatalan ini tidak ada ruam di atas kulit, tetapi kegatalan di bawah kulit. Saya terus buat ujian darah enzyme hati dan bile acids. Memang ini tinggi. Setelah saya memberi rawatan untuk menurunkan bile acids yang tinggi dalam darahnya, kegatalannya terus hilang.
Inilah Obstetrics Cholestasis.
Ini ialah masalah fungsi hati yang disebabkan oleh hormon kehamilan, yang boleh berlaku kepada 7 hingga 15 orang dalam 1000 ibu hamil. Jika di biarkan tanpa pantauan boleh memudaratkan bayi dalam kandungan, kelahiran pramatang, kematian bayi mati dan juga kemudaratan kepada ibu hamil kerana tak boleh tidur dengan kegatalan badan yang teruk.
Tak boleh diremeh-temehkan masalah ini.
Walaupun satu dalam empat ibu hamil ada kegatalan semasa hamil (kebanyakannya di bahagian kulit abdomen yang membesar) yang tidak memudaratkan, hanya segelintir ibu-ibu ini ada Obstetrics Cholestasis, dan doktor harus prihatin dan periksa ibu-ibu ini untuk mengetahui siapakah di kalangan ibu hamil yang ada Obstetrics Cholestasis dan siapakah yang perlukan ujian darah atau rawatan.
Saya beri ibu ini rawatan menurunkan bile acids yang tinggi dalam darah, dos ubat ini diberikan mengikut berat badan ibu, dan saya pantau ibu ini setiap minggu sehingga kandungannya matang. Bila matang, saya nasihatkan ibu ini kita induce kelahiran bayi, jangan tunggu-tunggu sehingga due date. Selepas bersalin, ibu boleh hentikan rawatan, dan penyakit ini akan sembuh selepas hormon kehamilan turun. Penyakit ini boleh berulang dalam 50% ibu-ibu ini pada kehamilan di masa depan dan mesti dipantau untuk kehamilan yang berikutnya.
Jika anda hamil pada trimester ketiga (28 minggu ke atas) dan ada kegatalan badan yang bermula dari tapak tangan dan tapak kaki, atau kegatalan yang paling teruk di bahagian tapak tangan dan tapak kaki, tanpa ruam, sila berjumpa dengan doktor di klinik, dan tanya, “Doktor, saya ada kegatalan badan. Adakah saya ada Obstetrics Cholestasis” supaya doktor anda akan memberi anda lebih perhatian.
Jangan tanya orang lain dan jangan tanya di media sosial.
Dr Imelda Balchin
Pakar Perunding Maternal & Fetal Medicine.
Đọc thêm