Risiko Air Ketuban Yang Kurang Atau Berlebihan Pada Kandungan

Air ketuban atau ‘amniotic fluid’ ialah satu cecair yang berasal daripada rembesan kulit bayi dan produk air kencing bayi yang mengelilingi bayi semasa dalam kandungan ibu. Biasanya bersifat jernih dan tidak berwarna, tetapi boleh bertukar menjadi warna kepada kehijau-hijauan atau kecoklatan sekiranya bercampur dengan najis janin. Antara sifatnya ialah ia tidak pekat seperti lelehan faraj dan tidak berbau sebagaimana air kencing, sebaliknya ia bersifat cecair dan cepat membasahi atau meleleh apabila terpecah. Air ini akan terus memenuhi kantung rahim sepanjang tempoh kehamilan. Fungsi Antara fungsi air ketuban ialah ia mengisi ruang perantara di antara janin, tali pusat dan dinding rahim bagi membantu penyerapan kesan hentakan luar (trauma kemalangan), menyerap kesan himpitan sekiranya berlaku pengecutan rahim, selain daripada menstabilkan suhu persekitarannya. Air ketuban juga bertindak sebagai lapisan pendinding kepada jangkitan dan memberi ruang kepada bayi dalam kandungan untuk menggerakkan anggota tubuh iaitu kaki dan juga tangannya. Air ketuban juga boleh pecah sama ada secara sendiri mahupun menerusi prosedur tertentu. Salah satu penyebab kepada ketuban pecah ialah prosedur memecahkan kantung ketuban yang biasanya dilakukan oleh doktor sewaktu ibu hamil mengalami kontraksi. Selain itu, air ketuban yang terlalu berlebihan pula boleh menyebabkan rahim menjadi terlalu tegang dan tidak dapat menahan tekanan di dalamnya lalu pecah. Malah, kelainan sifat tegar selaput ketuban yang menjadikannya lemah juga boleh menyebabkannya mudah bocor. Risiko ketuban pecah mungkin boleh terjadi sewaktu atau sejurus selepas kebocoran terutamanya kepada ibu hamil yang mempunyai masalah polihidramnios dan kedudukan janin tidak normal. Tali pusat boleh jatuh ke dalam faraj hingga menjadi punca kepada penyebab bayi lemas. Kebiasaannya tindakan segera akan diambil doktor dengan melakukan pembedahan Caesarean bagi mengeluarkan bayi. Uri boleh lekang daripada terus melekat pada dinding rahim disebabkan faktor perubahan tekanan yang berlaku secara mendadak akibat daripada kebocoran besar seperti di dalam kes polihidramnios. Apabila ini berlaku, ibu hamil juga boleh kehilangan darah dalam jumlah yang banyak dan pada masa yang sama boleh membahayakan keselamatan bayi yang dikandung. Risiko-risiko lain yang boleh berlaku termasuk jangkitan kuman (chorioamnionitis) jika ketuban pecah melebihi 24 jam. Kuman boleh menjangkiti air ketuban dan janin melalui faraj serta boleh mengakibatkan pneumonia. Ia juga boleh memasuki aliran darah janin dan ibu (sepsis). Kedudukan janin boleh kekal tidak normal kerana kekurangan atau ketiadaan air ketuban bagi memberi ruang untuk janin bergerak dan membetulkan kedudukannya. Sindrom aspirasi meconium pula boleh terjadi di mana kandungan air ketuban yang sedikit menyebabkan najis janin tidak cair dan meningkatkan risiko terhadap bayi jika najis memasuki ruang pernafasannya. Oleh itu, air ketuban yang keluar tidak harus dipandang ringan. Sekiranya anda mengesyaki air ketuban keluar sebelum tiba waktunya, segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan pengesahan dan menjalani rawatan susulan. Masalah Ketika Hamil Air Ketuban Kurang Masalah air ketuban kurang ini kerap dialami terutama bagi ibu yang melahirkan anak sulung. Selalunya masalah air ketuban ini jarang berlaku pada kehamilan akan datang. Walau bagaimanapun, ia mungkin dianggap perkara biasa justeru tidak ramai mengetahui pentingnya air ketuban serta risiko yang dialami sekiranya kekurangan air ketuban. Kekurangan air ketuban dipanggil ‘oligohidramnios’. Kadar normal air ketuban ialah dari bacaan 0.5- 2.5 liter. Air ketuban kurang biasanya merujuk kepada masalah buah pinggang bayi atau tekanan darah tinggi ibu. Punca-puncanya ialah: Koyakan Pada Dinding Air Ketuban – Koyakan kecil pada dinding air ketuban menyebabkan air ketuban keluar. Koyakan ini meningkatkan risiko jangkitan pada ibu dan bayi kerana koyakan ini memberi laluan kepada bakteria untuk masuk ke kawasan air ketuban. Kadangkala,kebocoran selaput ketuban mengakibatkan lelehan air ketuban secara berterusan sedikit demi sedikit, boleh berlaku tanpa disedari dan disangka lelehan lendir faraj. Masalah Placenta – Masalah pada placenta akan menyebabkan bekalan darah dan nutrien berkurangan pada bayi anda. Sekaligus menyebabkan bayi berhenti mengitar semula cecair yang dijadikan air ketuban. Masalah Kesihatan Ibu Dan Bayi – Masalah kesihatan ibu seperti buah pinggang serta paru-paru janin menimbulkan masalah air ketuban yang kurang Kelainan kromosom janin juga boleh menyebabkan kurang penghasilan air ketuban ini. Mengandung Kembar Dua Atau Lebih – Masalah air ketuban kurang mempunyai risiko yang tinggi sekiranya si ibu mengandung kembar dua atau lebih. Keadaan ini berlaku kerana sindrom peralihan cecair kembar kepada kembar yang lain. Air ketuban yang kurang dibentuk oleh seorang kembar,manakala seorang lagi kembar akan membentuk ar ketuban yang banyak. RISIKO KEKURANGAN AIR KETUBAN (OLIGOHYDRAMNIOS) Tali pusat terhimpit dan berkemungkinan janin lemas akibat gangguan aliran darah dan oksigen daripada ibu kepadanya. Penyempitan ruang dalam rahim boleh mengganggu pembentukan paru-paru, menyebabkan kecacatan pada anggota kaki serta kedudukan janin tidak normal. Kelahiran pramatang dan komplikasi berkaitannya boleh berlalu seperti kesukaran pernafasan dan pendarahan otak Kematian bayi sebelum dilahir (mati dalam kandungan). RISIKO AIR KETUBAN TERLALU BANYAK (POLIHIDRAMNIOS) Kedudukan bayi songsang seperti kepala ke bawah. Kandungan nampak terlalu besar dan berat. Kesannya adalah kepada tulang belakang amat ketara apabila anda berasa tidak selesa terutamanya di trimester akhir kehamilan. Risiko kelahiran pramatang adalah tinggi kerana proses kelahiran boleh berlaku lebih awal. Risiko melahirkan bayi secara caesarean(pembedahan) adalah tinggi disebabkan kedudukan bayi yang songsang.

1 Trả lời
 profile icon
Viết phản hồi

Tq for sharing.. ☺️